Bintang gimrama, Elaine Koon menerima keseluruhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) berikutan pencapaian cemerlang pada Sukan Komanwel di New Delhi, bulan lepas.
Elaine yang memenangi masing-masing satu emas dan perak serta tiga gangsa menerima insentif keseluruhan bernilai RM180,000. "Saya tidak sangka menang dan saya hanya cuba yang terbaik di sana (Sukan Komanwel). Saya mahu simpan wang ini untuk masa depan," kata Elaine yang berusia 17 tahun. Elaine, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, bagaimanapun tidak mahu tertekan di Sukan Asia Guangzhou, China dari 13 hingga 27 November ini.
"Ini merupakan Sukan Asia pertama saya. Ia lebih sukar untuk saya kerana di Sukan Asia, ada ahli gimnas yang pencapaiannya lebih tinggi bertanding. Sasaran saya ialah untuk memasuki final dalam acara keseluruhan individu," katanya.
Pada Sukan Asia, Elaine berkata, dia akan menghadapi lawan yang lebih kuat dari Kazakhstan, Uzbekistan, Jepun dan Korea Selatan. Sementara itu, mengikuti dari belakang Elaine ialah Pandalela Rinong Pamg (terjun) dan Bibiana Ng (menembak) yang masing-masing menerima RM100,000.
Kesemua pemenang itu menerima hadiah mereka daripada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada majlis yang diadakan di bangunan Parlimen di sini, semalam.
Majlis Sukan Negara (MSN) memberikan RM1.71 juta sebagai insentif berikutan kejayaan kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel yang memenangi 12 pingat emas, 10 perak dan 14 gangsa.
Seramai 43 atlet dari 10 kategori sukan yang memenangi pingat pada Sukan Komanwel itu diberikan hadiah di bawah Shakam. - Bernama
No comments:
Post a Comment